Pembangkang sabotaj ekonomi, burukkan negara

b- a- Pembangkang sabotaj ekonomi, burukkan negara

KUALA LUMPUR – Sikap pembangkang yang suka memburukkan Malaysia dalam misi luar negara mereka boleh dianggap sebagai tindakan mensabotaj ekonomi negara yang akan merugikan rakyat.

Perbuatan para pemimpin pembangkang itu seperti menghalau pelabur sedia ada keluar dan menghalang pelabur baharu masuk ke negara ini seolah-oleh cuba menghancurkan ekonomi negara sendiri.

“Bukankah ini satu tindakan yang merugikan rakyat kita sendiri? Bukankah ini menunjukkan perangai sebenar mereka yang tidak sayang akan tanah air sendiri?
“Saya juga percaya bahawa tindakan mereka memburukkan Malaysia adalah satu cubaan untuk menutup kelemahan mereka sendiri dari segi pentadbiran, baik 'delivery' (penyampaian) kepada rakyat,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan terbaharu di blognya najibrazak.com malam ini.

Mengambil contoh sikap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Najib berkata sebelum ini, setiausaha agung DAP itu dengan bangganya mengeluarkan kenyataan bahawa negeri itu merupakan destinasi pilihan pelabur asing.

Namun, apabila banyak pelabur asing meninggalkan Pulau Pinang, beliau berkata Lim mengubah rentak bicaranya dan penyokong-penyokongnya pula menuduh kerajaan Persekutuan menjual negara apabila banyak pelaburan asing masuk ke Malaysia.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mempersoalkan logik pembangkang tentang dakwaan mereka kononnya negara dijual melalui pelaburan asing, sedangkan rakyat dan syarikat Malaysia melabur hampir RM569.5 bilion di luar negara.

“Mengikut logik yang diguna pakai pembangkang, saya tertanya-tanya negara mana yang telah jual maruah dan kedaulatan mereka kepada Malaysia?

“Wujud juga segelintir pihak yang kerap mengatakan Malaysia ini sebuah negara gagal dan seingat saya, mereka telah mencanang fitnah ini berpuluh tahun dahulu,” kata beliau.

Najib berkata pembangkang sepatutnya menggunakan logik akal dan melihat sendiri keyakinan pemimpin luar negara terhadap Malaysia di mana dalam tempoh dua tahun sahaja, negara ini menerima kunjungan pelbagai ketua negara termasuk Presiden Perancis, Raja Arab Saudi, Presiden Filipina, Presiden Amerika Syarikat serta Perdana Menteri Singapura.