Kejayaan bawa balik rakyat Malaysia bukti keprihatinan Najib, kerajaan

b- a- Kejayaan bawa balik rakyat Malaysia bukti keprihatinan Najib, kerajaan

MELAKA – Kejayaan membawa pulang sembilan rakyat Malaysia dari Korea Utara adalah bukti keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan kepada rakyat, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata usaha itu dicapai dengan pengurusan dan pentadbiran sistematik dilaksanakan kepimpimpinan Najib, sekali gus menunaikan janjinya kepada rakyat Malaysia untuk membawa pulang sembilan individu terbabit.

“Ini merupakan hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia, apa berlaku selama ni diatur secara sistematik oleh kerajaan untuk bawa pulang rakyat Malaysia itu.

“Jika sebelum ini terdapat pihak yang cuba melakukan provokasi terhadap Najib, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara, namun kejayaan ini membuktikan kerajaan berjaya menyelesaikan krisis yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-34 Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Melaka (Bistari) yang turut dihadiri Pengerusinya Datin Seri Fadilah Abdullah yang juga isteri Idris.

Sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang, selamat tiba di tanah air awal pagi ini.

Pada 7 Mac lepas, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warga Korea Utara yang berada di negara ini. – BERNAMA