TN50: Kerajaan pastikan luar bandar nikmati kemudahan sama seperti bandar

b- a- TN50: Kerajaan pastikan luar bandar nikmati kemudahan sama seperti bandar

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak perlu 'membandarkan' luar bandar tetapi memastikan segala kemudahan di bandar dapat disediakan dan dinikmati penduduk di luar bandar, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata menjelang pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50), masyarakat luar bandar hanya memerlukan talian internet untuk melakukan semua urusan dan perkhidmatan kerana internet berkelajuan tinggi telah pun dibangunkan di seluruh negara.

Langkah itu, katanya, akan memudahkan masyarakat luar bandar mendapatkan perkhidmatan tertentu seperti mana yang dinikmati penduduk bandar.

“Lagi 30 tahun, sudah tidak praktikal untuk penduduk luar bandar datang ke bandar semata-mata untuk melakukan urusan tertentu. Kita kena bawa perubahan seiring dengan pencapaian pembangunan di bandar,” katanya pada sesi dialog TN50 sempena Hari Terbuka Kementerian Kewangan di sini.

Sesi dialog itu, yang diterajui Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, merupakan kesinambungan Dialog Perdana TN50 yang menampilkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi dialog pertama pada Januari lepas.

Johari berkata Kementerian Kewangan bukan sahaja bersedia menaik taraf rangkaian insfrastruktur dan digital malah membawa industri-industri berpotensi kepada masyarakat luar bandar ke arah menyediakan peluang pekerjaan serta menjana aktiviti ekonomi.

Mengenai masalah hutang dalam kalangan belia, Johari berkata Kementerian Kewangan memandang serius bebanan itu dan menggalakkan belia menceburi bidang keusahawan yang merupakan satu daripada agenda TN50.

Beliau menjelaskan terdapat dua isu hutang dalam kalangan golongan muda iaitu komitmen terhadap rumah dan kenderaan dengan kini ramai daripada mereka berdepan komitmen jangka panjang.

Untuk mengurangkan bebanan rakyat, katanya, kerajaan menyediakan perkhidmatan lebih baik dengan melaksanakan sistem pengangkutan awam terbaik seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Transit Aliran Massa (MRT).

“Kerajaan melabur sebanyak RM43 bilion untuk MRT1, RM45 bilion untuk MRT2 selain sejumlah wang yang besar untuk LRT dan HSR yang kesemuanya bertujuan mengurangkan perbelanjaan rakyat,” katanya.

Johari juga menasihati golongan belia yang baru bekerja supaya menyewa rumah pada kadar berpatutan dan membeli rumah apabila keadaan ekonomi mereka benar-benar stabil.

Mengenai pelaburan masa depan, Johari memberitahu bahawa sejak dahulu lagi, kerajaan mengamalkan dasar ekonomi terbuka berbanding negara-negara kaya di dunia seperti Asia Barat, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

“Contohnya, Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia kini adalah RM1.23 trilion, kita peroleh pendapatan itu kerana amalan perdagangan yang pelbagai dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, industri minyak dan gas serta pelbagai lagi.

“Meski pun pernah berdepan krisis kewangan global dan Asia, tindakan proaktif kerajaan melaksanakan dasar-dasar baharu ke arah negara maju ekonomi telah semakin stabil. Ini termasuklah dasar TN50 yang diyakini akan menjadi lebih baik,” katanya. – BERNAMA