Pengunjung, peniaga teruja kehadiran mengejut Ahmad Zahid ke pasar tamu

b- a- Pengunjung, peniaga teruja kehadiran mengejut Ahmad Zahid ke pasar tamu

KOTA MARUDU – Kehadiran mengejut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Tamu Kota Marudu di sini pagi ini nyata turut mengejutkan pengunjung dan peniaga di pasar minggu itu.

Kunjungan beliau bersama rombongan termasuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu bertujuan melawat serta bersarapan di pasar itu.

Seorang peniaga, Yusuf Ajib, 40, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila hasrat beliau dan anak-anaknya Yusmariawati, 4, dan Mohd Azwan, 2, untuk bersalaman dengan Ahmad Zahid tercapai.

“Saya bersama isteri dan dua anak berada di tamu ini seperti biasa dan langsung tidak menyangka bertemu pemimpin nombor dua negara. Pada mulanya saya ingin sangat anak-anak saya bersalam dengan timbalan perdana menteri.

“Namun, disebabkan keadaan sesak dan kawalan ketat, kami kian jauh daripada beliau. Tetapi Datuk Seri menyedari kehadiran kami lalu melambai agar kami datang kepadanya, tanpa membuang masa, saya meluru ke hadapan bersama anak-anak lalu bersalaman dengan beliau,” katanya teruja.

Menurut Yusuf yang berasal dari Kampung Goshen di sini, beliau ingin kedua-dua anaknya berjaya seperti timbalan perdana menteri dan sekurang-kurangnya mencapai sesuatu dalam hidup yang boleh dibanggakan.

Turut teruja dengan kehadiran Ahmad Zahid adalah Sulina Dohonggot, 48, yang seperti tidak percaya dapat melihat timbalan perdana menteri di hadapan matanya sendiri kerana selama ini hanya menatap wajah pemimpin negara itu menerusi akhbar dan televisyen.

Penjual buah-buahan itu berkata inilah pertama kali dia dapat berbual dan berjabat tangan dengan Ahmad Zahid yang membeli buah langsat di gerainya.

“Saya terkejut kerana beliau tiba-tiba muncul di gerai saya. Saya tidak tahu yang beliau akan datang ke pasar tamu hari ini. Saya juga berasa gementar tetapi saya amat gembira,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Jossy Ungkian, 33, senang hati dapat bertemu dengan timbalan perdana menteri, malah lebih menggembirakan apabila beliau sempat meluangkan masa menikmati kesegaran air kelapa yang dijualnya.

Jainab Atoh, 60, juga langsung tidak mengetahui tentang kehadiran Ahmad Zahid sehingga beliau bersama-sama ketua menteri dan rombongan pemimpin lain singgah digerainya untuk menikmati juadah tapai pulut.

“Saya teruja kerana Datuk Seri singgah ke gerai saya. Datuk Seri cakap tapai pulut ini enak,” katanya.

Berbeza dengan Salina Achil, 63, kehadiran timbalan perdana menteri sudah diketahuinya dua hari lepas memandangkan dia diberi peranan untuk menyediakan menu sarapan selepas tinjauan di pasar tamu berkenaan selesai.

“Saya terkejut, gugup dan bimbang apabila diminta menyediakan juadah seperti jagung rebus, ubi rebus, pisang rebus dan beberapa kuih tradisi masyarakat Kota Marudu. Namun, saya kuatkan hati untuk terima pelawaan menyediakan tempahan itu,” kata bekas kakitangan awam yang tidak dapat menyembunyikan kegembirannya.

Bagaimanapun, dia berasa lega apabila timbalan perdana menteri memberitahu hidangan makanan tradisi yang disediakannya di Gerai Makan dan Minum Seri Rezeki miliknya yang baru sahaja beroperasi tujuh bulan lalu, sedap-sedap belaka.

Di gerai tersebut, Ahmad Zahid menikmati sarapan jagung rebus, ubi rebus beserta teh O.- BERNAMA