Pertumbuhan ekonomi Malaysia memberangsangkan

b- a- Pertumbuhan ekonomi Malaysia memberangsangkan

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi negara yang memperlihatkan pertumbuhan amat memberangsangkan merupakan petanda positif terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berpuas hati dengan pertumbuhan itu berkata, ini terutamanya melibatkan sektor perdagangan dan eksport, dengan nilai eksport negara melebihi RM70 bilion untuk bulan keempat berturut-turut sejak November 2016.

“Bagi Februari tahun ini, eksport kita mencecah RM71.77 bilion, naik 26.5 peratus berbanding tahun lalu. Kesemua sektor utama iaitu barangan perkilangan, hasil galian dan keluaran pertanian mencatat pertumbuhan yang tinggi.

“Ini adalah satu indikator positif dan satu suntikan semangat keyakinan terhadap usaha dan dasar kerajaan Malaysia,” katanya dalam catatan di laman Facebook malam ini.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, jumlah perdagangan Malaysia pada Februari 2017 meningkat 27.1 peratus, mencecah RM134.83 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Najib berkata berdasarkan pertumbuhan memberangsangkan itu, institusi-institusi penyelidikan turut meramalkan ekonomi Malaysia akan berkembang lebih besar pada tahun ini berbanding ramalan awal.

Justeru, Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia perlu berusaha untuk terus melangkah maju dalam merealisasikan pertumbuhan ekonomi kukuh. – BERNAMA

KOMEN

WORDPRESS: 0