Parti komponen BN perlu terus bekerja sebagai satu pasukan – Kurup

b- a- Parti komponen BN perlu terus bekerja sebagai satu pasukan – Kurup

NABAWAN – Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup mahu anggota parti itu agar terus mengekalkan kerjasama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sebagai satu pasukan bagi memastikan BN terus kukuh dan menjadi pilihan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata kerjasama seperti perkongsian maklumat dan membudayakan hubungan erat amat perlu sebagai contoh kepada rakyat sekali gus menarik mereka untuk terus menyebelahi parti pemerintah.

“Perpaduan dalam parti kompenan ini sangat penting,” katanya ketika berucap merasmikan pejabat baharu PBRS kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan di sini hari ini.

Kurup berkata kerjasama yang kuat dan berkesan lahir daripada komitmen, kesungguhan, iltizam serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti kompenan di peringkat akar umbi.

Terdahulu, beliau menasihatkan pengerusi dan anggota jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah Nabawan supaya bertindak sebagai ‘pengaman’ penduduk di kawasan masing-masing bagi mengekalkan perpaduan dalam komuniti setempat.

Katanya, usaha dan langkah seperti itu sangat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan itu dapat dipertingkatkan.

— BERNAMA

KOMEN

WORDPRESS: 0