Putera Mahkota Naruhito kagum dengan kepelbagaian Malaysia – Duta

b- a- Putera Mahkota Naruhito kagum dengan kepelbagaian Malaysia – Duta

SEPANG – Putera Mahkota Naruhito, yang menamatkan lawatan rasmi lima hari ke Malaysia pada Isnin, kagum dengan kepelbagaian budaya, agama, kaum dan makanan di Malaysia, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa.

Putera Mahkota Jepun itu juga memuji dan menghargai toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia, katanya kepada Bernama selepas keberangkatan pulang baginda di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

“Toleransi dipamerkan dalam pengurusan penuh mahir kerajaan Malaysia, diplomasi dan pembangunan ekonomi dalam kalangan rakyat,” katanya ketika ditanya mengenai pendapat Putera Mahkota Naruhito tentang keistimewaan Malaysia.

Miyagawa berkata Putera Mahkota Naruhito juga bertekad untuk meneruskan hubungan mesra dan kaya sejarah di antara Jepun dengan Malaysia.

“Hubungan baik Jepun dan Malaysia akan membawa kesan positif bagi Asia Timur dan Asia Tenggara,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai perasaan Putera Mahkota Jepun itu tentang lawatan rasmi berkenaan, Miyagawa berkata Putera Naruhito amat gembira dengan layanan mesra Malaysia sepanjang lawatan itu.

“Yang Teramat Mulia sangat gembira dapat melawat Malaysia buat pertama kalinya. Baginda disambut dengan amat baik oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Datin Seri (Rosmah Mansor).

“Namun, baginda sangat sedih kerana terpaksa berangkat pulang hari ini. Baginda bertitah demikian kepada saya,” katanya.

Miyagawa berkata sebelum melawat Malaysia, Putera Mahkota Naruhito tertanya-tanya tentang negara ini.

“Selepas tiba di Malaysia dan menemui ramai orang, baginda menyedari tentang kemesraan dan kemurahan hati serta persahabatan yang terjalin di antara kedua-dua negara dan rakyat,” kata beliau.

“Hari demi hari, baginda menjadi lebih santai (berada di Malaysia),” katanya.

Semasa di Malaysia, Putera Mahkota Naruhito menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan diraikan dalam majlis santapan malam rasmi di Istana Negara semalam.

Baginda turut menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Najib di Seri Perdana, Putrajaya pada Sabtu.

Baginda juga melawat Pusat PERMATApintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia selain mengunjungi Universiti Malaya, Muzium Negara, Terowong SMART dan Sekolah Jepun Kuala Lumpur.

Ia merupakan lawatan pertama Putera Mahkota Naruhito ke Malaysia sejak ditabalkan sebagai Putera Mahkota Jepun pada 1991.

Lawatan baginda juga bersempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia dan Jepun.

— BERNAMA

KOMEN

WORDPRESS: 0