Agropelancongan di perkampungan Orang Asli Johor

b- a- Agropelancongan di perkampungan Orang Asli Johor

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor terus komited membangunkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli di negeri ini dengan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembangunan sektor agropelancongan di perkampungan masyarakat Orang Asli.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagi merancakkan sektor itu, dana sebanyak RM100,000 disalurkan kepada projek pembangunan agropelancongan di kawasan Perkampungan Orang Asli Tanah Abang dekat Mersing.

“Dana itu disalurkan menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) kepada Koperasi Peserta Rancangan Orang Asli Tanah Abang Mersing Berhad.

“Kita percaya melalui cara ini, ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan malah meningkatkan keupayaan dan penglibatan masyarakat Orang Asli dalam agenda pembangunan kita,” katanya semasa berucap pada majlis Jalinan Muafakat Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Johor di sini, hari ini.

Projek itu merangkumi pembangunan prasarana termasuk lima unit chalet, ruang penginapan dua tingkat, 10 unit kayak, lima bot, kelengkapan rekreasi serta lima kolam ternakan udang.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata menerusi penubuhan koperasi, taraf hidup Orang Asli terus meningkat dengan menyaksikan 88 koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan disertai seramai 13,884 Orang Asli.

Beliau berkata menerusi koperasi itu, ramai usahawan dilahirkan dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang menyerati pelbagai bidang termasuk peruncitan, pembuatan dan pertanian.

“Ini membuktikan masyarakat Orang Asli di negeri ini mampu bersaing dengan masyarakat lain secara terbuka dengan cemerlang.”

“Semua usaha dilakukan kerajaan negeri bertujuan memastikan masyarakat ini tidak berada di takuk lama dan mahu melihat mereka bersaing secara terbuka,” katanya.

Beliau turut berharap masyarakat Orang Asli dapat menyokong dan membantu kerajaan negeri supaya pelbagai dasar dan perancangan bermanfaat dapat diperkenalkan kepada masyarakat tersebut.

— BERNAMA

KOMEN

WORDPRESS: 0