MRT: Kurangkan kos sara hidup

b- a- MRT: Kurangkan kos sara hidup

KUALA LUMPUR -Hampir setiap hari sejak setahun lepas, mahasiswa jurusan Sains Kejururawatan Nur Syahirah Yusof, 23, terpaksa berulang-alik dari rumahnya di Kajang ke kampusnya di Sungai Buloh dengan memandu kereta kerana tidak mendapat tawaran menduduki asrama.

Beliau terpaksa bergerak seawal pukul 5.30 pagi sekiranya mempunyai kuliah pada 8 pagi untuk perjalanan sejauh 50 kilometer yang mengambil masa lebih dua jam.

Selain perjalanan jauh, perbelanjaan beliau sebagai seorang mahasiswa juga sangat membebankan apabila terpaksa berbelanja sehingga RM100 seminggu untuk tol dan RM80 seminggu untuk petrol bagi menghadiri kelas lima hari seminggu.

Namun, denganTransit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang bakal beroperasi sepenuhnya dengan pembukaan fasa kedua esok, Nur Syahirah akhirnya dapat menarik nafas lega.

“Saya tidak perlu lagi bangun awal untuk memandu ke kuliah dan elak kesesakan lalu lintas kerana stesen MRT Kajang terletak tidak jauh dari rumah saya dan menjimatkan masa kerana kira-kira sejam sahaja perjalanan diperlukan untuk ke kuliah dengan MRT.

“Tambahan pula, tambang MRT yang murah sehingga RM6.40 sehala juga mampu menjimatkan perbelanjaan harian dan saya boleh menggunakan hasil wang penjimatan itu untuk membeli alat tulis dan buku rujukan untuk pembelajaran,” katanya kepada Bernama.

Warga Lembah Klang bakal menikmati kemudahan MRT laluanSBK secara sepenuhnya apabila fasa kedua mula beroperasi esok, dengan rata-ratanya berpendapat ia bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas selain menjimatkan masa perjalanan, wang serta tekanan.

Mahasiswa kolej swasta, Malissa Abdullah, 20, berkata pembukaan fasa kedua laluan SBK bakal menjimatkan masa perjalanannya untuk ke kuliah dari KL Sentral menuju ke Stesen Semantan.

“Jika sebelum ini saya terpaksa menunggu bas perantara di KL Sentral untuk ke stesen tersebut (Semantan) yang keseluruhannya mengambil masa sehingga satu jam setengah namun kini hanya perlu10 minit sahaja dengan MRT,” katanya.

Eksekutif Pemasaran Tommy Yeoh, 29, berkata beliau tidak perlu lagi berbelanja sehingga RM100 sebulan untuk bayaran pas parkir bulanan keretanya apabila MRT laluan SBK beroperasi sepenuhnya.

“Bayaran parkir sangat mahal di tempat kerja saya iaitu di Bukit Bintang kerana ia kawasan tumpuan pelancong. Dengan MRT beroperasi sepenuhnya pada Isnin ini, saya tidak perlu lagi memandu dari Subang ke Bukit Bintang yang mengambil masa kira-kira dua jam masa perjalanan,” katanya.

Sementara itu,surirumah Shally Teoh, 30, berkata kebanyakan daripada stesen-stesen fasa kedua dari Stesen Semantan ke Kajang menghubungkan penumpang ke pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

“Kesesakan lalu lintas akan dikurangkan kerana warga kota tidak perlu lagi memandu kenderaan mereka untuk ke pusat membeli-belah terutamanya ketika hujung minggu.

“Selain menjimatkan bayaran parkir dan tol, tambang MRT juga sangat murah iaitu tidak lebih daripada RM6.40sehala, sekali gus menjimatkan perbelanjaan harian kami,” katanya yang tinggal di Cheras.

Perdana Menteri DatukSeri NajibTun Razak dijangka melancarkan Laluan Semantan-Kajang esok.

Pembukaan fasa kedua melibatkan laluan Semantan-Kajang itu akan melengkapkan Laluan SBK sepanjang 51km denganmelalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni.

Projek MRT Sungai Buloh-Kajang, dengan kos RM23 bilion, mula dibina pada 8 Julai 2011, dan akan memberi perkhidmatan di sepanjang koridor yang mempunyai 1.2 juta penduduk.

Setiap set tren untuk laluan berkenaan mempunyai empat gerabak, membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penumpang dengan kekerapan tren 3.5 minit dan dianggarkan bilangan penumpang harian kira-kira 400,000 orang.

Laluan MRT Kedua (MRT-2) melibatkan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (LaluanSSP), sepanjang 52.5km, dijangka siap padasuku kedua 2022 manakala laluan terakhir MRT-3 masih di peringkat perancangan.  – BERNAMA

KOMEN

WORDPRESS: 0