Bas henti-henti masih diperlukan penduduk

b- a- Bas henti-henti masih diperlukan penduduk

JELEBU – Lebih 10 tahun lalu penduduk di Kampung Chennah dan beberapa kampung di kawasan berkenaan mudah untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain terutamanya pusat bandar Kuala Klawang dan Seremban.

Ia berikutan adanya perkhidmatan bas henti-henti disediakan oleh syarikat bas di tempat mereka yang beroperasi setiap hari.

Namun, sejak kebelakangan ini perkhidmatan awam yang menjadi nadi kepada penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi dapat dilihat menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk bergerak.

Seorang wakil penduduk, Siti Ame Arshad, 58, berkata, dia sangat berharap agar perkhidmatan pengangkutan itu sedia kembali seperti sediakala untuk kemudahan ramai.

Katanya, sejak ketiadaan perkhidmatan itu pergerakannya untuk melakukan urusan tertentu agak sukar dan terpaksa mendapatkan bantuan anak-anak sekiranya mahu bergerak ke bandar.

“Sebelum ini kalau hendak bayar bil-bil tak perlu tunggu anak-anak balik sebab boleh bayar sendiri di bandar naik bas.

“Tapi sejak tak ada lagi perkhidmatan bas ini terpaksa juga tunggu mereka pulang. Itupun kalau ada yang balik pada cuti hujung minggu, sampaikan ada bil yang tertunggak,” katanya.

 

 

 

Siti Ame Arshad

 

Siti Ame memberitahu, keadaan yang berlaku itu mungkin disebabkan  kurangnya permintaan terhadap penggunaan perkhidmatan tersebut yang kebiasaannya menjadi pilihan golongan warga emas.

“Sekarang ini anak muda kurang naik bas sebab mereka ada kenderaan sendiri.

“Macam public phone (telefon awam) jugalah. Dulu sering digunakan orang..tapi bila semua dah guna handphone, pondok telefon pun dah tiada sekarang ni,” ujarnya.

Bagaimanapun, Siti Ame tetap mengharapkan agar perkhidmatan itu dapat disediakan semula ekoran ia dianggap penting bagi golongan yang sudah berusia sepertinya.

Justeru, beliau berharap agar pihak-pihak tertentu dapat memainkan peranan mendengar rintihan dan permintaan warga emas sepertinya, – theRakyat

 

KOMEN

WORDPRESS: 0