Enam insentif bukti kesungguhan kerajaan bela nasib peneroka

Enam insentif bukti kesungguhan kerajaan bela nasib peneroka

PENDANG – Enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk peneroka dan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuktikan kesungguhan kerajaan membela nasib golongan itu bagi meringankan beban menghadapi kos sara hidup.

Ketua Peneroka Felda Sungai Tiang dekat sini Che Hat Abdullah berkata sebagai peneroka generasi kedua di tanah rancangan itu, dia sangat bersyukur dengan pemberian insentif itu kerana ia sangat bermanfaat kepada peneroka antaranya dari segi memenuhi keperluan golongan berkenaan.

“Apa yang saya boleh katakan, saya menganggap insentif ini satu berita gembira sebab boleh meringankan beban kami sebagai peneroka Felda. Jadi, saya mengharapkan kerajaan dapat melaksanakan kesemua enam insentif ini seperti dijanjikan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Felda itu hari ini.

Che Hat berkata selain itu pengumuman insentif berkenaan juga boleh menjadi medium penyatuan semula peneroka Felda untuk bersama-sama membangunkan Felda dengan lebih teratur dan kemas lagi sehingga gah di mata masyarakat dunia.

Sementara itu, Pengerusi Biro Masyarakat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Sungai Tiang Zamberi Othman yang juga generasi kedua menganggap pemberian insentif itu sebagai satu cenderahati dan bonus kepada peneroka Felda di seluruh negara.

“Saya berasa sangat seronok…seperti pengorbanan peneroka ini dihargai kerajaan. Bagi saya sebagai generasi kedua berasa tidak ada satu pun masalah timbul yang melibatkan kebajikan masyarakat Felda ini. Sebab apa yang Felda (kerajaan) buat ini semuanya baik untuk kita,” katanya.

Namun, Zamberi mencadangkan supaya kerajaan memberi perhatian kepada usaha mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam kawasan Felda sendiri dalam usaha mengelak lebih ramai lagi golongan muda di Felda berhijrah keluar dari situ untuk mencari rezeki.

“…bagi anak muda tidak lari ke mana. Kebanyakan yang masih tinggal di Felda ini kerja kampung seperti menoreh getah ataupun buat kerja sendiri. Oleh itu, saya harap mungkin kerajaan boleh melihat kemungkinan buat pembangunan IKS (Industri Kecil dan Sederhana) dalam Felda untuk sedia peluang pekerjaan kepada anak-anak muda,” katanya.

Bagi Pengerusi Biro Agama Gabungan Persatuan Wanita (GPW) Felda Sungai Tiang Tom Salleh yang merupakan generasi pertama pula berkata peneroka perlu berterima kasih kepada kerajaan yang begitu prihatin dengan kebajikan mereka menerusi pemberian insentif berkenaan.

Sehubungan itu, dia yang merupakan ibu tunggal meminta peneroka termasuk semua rakyat terutamanya golongan muda terus menghentikan tindakan memburukkan kerajaan serta kepimpinan sedia ada sebaliknya mengukuhkan lagi perpaduan rakyat di negara ini.

“Peneroka Felda ini paling bertuah dan hebat. Kalau kita betul-betul ikut macam perancangan disarankan kerajaan, kita semua boleh berjaya hingga anak cucu kita senang. Macam saya sendiri, saya berterima kasih kepada Felda, dengan bantuan diberikan membolehkan anak saya berpeluang belajar di peringkat lebih tinggi.

“Saya ada anak belajar di IPT (Institut Pengajian Tinggi) hingga menjadi doktor. Ini semua hasil apa yang Felda berikan kepada saya. Saya hendak bagi tahu, saya yang dahulu kerja menoreh getah, bolehkah saya hendak hantar anak saya masuk IPT sekiranya Felda tidak membantu? Sudah tentu tidak boleh. Sebab saya tidak mampu,” katanya.

Tom berkata dia tidak menafikan dalam sistem pentadbiran sesebuah negara sudah pasti akan ada kelemahan namun terdapat cara berhemah untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keburukan itu dan bukannya cuba meruntuhkan institusi kepimpinan sedia ada yang sudah banyak berjasa membela nasib rakyat dan membangunkan negara ini.

“Sedangkan dalam keluarga sendiri pun kita ada rasa tidak puas hati. Tidak puas hati dekat emak sendiri misalnya. Biasalah ini. Kita sepatutnya membaiki segala kelemahan ini dengan tidak menjatuhkan kepimpinan sedia ada. Banyak sudah kebaikan yang kerajaan buat untuk kita semua,” katanya.

Antara insentif yang diumumkan perdana menteri pada 23 Julai lalu itu adalah dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.    — BERNAMA

KOMEN

WORDPRESS: 1
  • comment-avatar

    Terbaik PM yang beroptimis & Kerajaan BN yang mendahulukan Rakyat