Tidak perlu lagi tunggu esok untuk sampai ke Kampung Esok

b- a- Tidak perlu lagi tunggu esok untuk sampai ke Kampung Esok

JELEBU – Jika sebelum ini penduduk di Kampung Chennah terpaksa mengambil masa sehari untuk sampai ke Kampung Esok dengan merentas hutan dan bukit bukau tetapi, selepas ini perjalanan mereka hanya mengambil masa 15 minit.

Ini kerana jalan yang digunakan oleh penduduk di kedua-dua kampung itu sedang dalam proses penambahbaikan dan penurapan.

Difahamkan lebih 1,000 penduduk yang mendiami perkampungan tradisional, Felcra serta masyarakat Orang Asli di situ sedang melalui fasa kedua pembinaan jalan baharu.

Tinjauan eRakyat di kampung berkenaan mendapati, jalan tersebut merupakan nadi penting kepada penduduk di kawasan berkenaan serta menjadi akses keluar ke Janda Baik, Pahang.

Pada satu ketika dahulu, penduduk di kedua-dua kampung terpaksa berjalan merentas hutan belukar dengan mengambil masa sehari untuk tujuan ekonomi menggunakan sistem barter.

Chennah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Pekan Kuala Klawang bukanlah satu tempat yang asing bagi penduduk di Negeri Sembilan apatah lagi masyarakat sekitar Jelebu.

Biarpun dikategorikan sebagai kawasan pedalaman, namun, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi menaik taraf infrastruktur sedia ada sekaligus membolehkan penduduk menikmati limpahan pembangunan.

Menyusuri sejarah Chennah, kawasan ini mempunyai penduduk majoriti Orang Asli iaitu golongan terawal menerokainya.

Malah, berdasarkan maklumat, terdapat empat perkampungan Orang Asli di kawasan itu terdiri daripada Kampung Dusun Kubur, Kampung Jeram Lesong, Kampung Bertam dan Kampung Tohor.

Akan tetapi, selepas beberapa dekad, masyarakat Melayu, Cina dan India mula memasuki dan menetap di kawasan tersebut sehingga ke hari ini.

Bagi memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan sekitar Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah membelanjakan sebanyak RM41 juta bagi menanggung kos kerja menaik taraf kemudahan jalan itu bermula dari Kampung Chennah hingga ke Kampung Esok yang siap akan sepenuhnya menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Projek berkenaan turut meliputi kerja-kerja pelebaran jalan termasuk pembinaan beberapa buah jambatan sepanjang laluan di kedua-dua kampung terbabit. – theRakyat

 

INFO

  1. Projek pembinaan dan pelebaran jalan menghubungkan Chennah di Negeri Sembilan dan Janda Baik di Pahang dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 2013.
  2. Terdapat empat fasa.
  3. Fasa satu meliputi jarak 4.431 kilometer dari persimpangan Kampung Chennah ke Kampung Jeram Lesong iaitu sebahagian daripada projek jalan baru berkenaan telah bermula.
  4. Ia melibatkan pembinaan jalan satu lorong, dua hala, selain dua jambatan yang mana jambatan pertama sepanjang 69.2 meter merentasi Sungai Kongkoi dan jambatan kedua sepanjang 23 meter merentasi Sungai Alur.

KOMEN

WORDPRESS: 0