Penyediaan unit saham pupuk budaya melabur dalam kalangan masyarakat India

b- a- Penyediaan unit saham pupuk budaya melabur dalam kalangan masyarakat India

PUTRAJAYA – Kira-kira 100,000 keluarga dalam kalangan masyarakat India bakal memperoleh manfaat menerusi penyediaan 2 bilion unit saham oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) di negara ini.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, inisiatif baharu yang bakal dilaksanakan menerusi Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) julung kali diadakan untuk melahirkan budaya melabur dan penyimpan berjangka panjang.

Katanya ia sejajar dengan hasrat kerajaan menerusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memupuk budaya berjimat dalam kalangan masyarakat India dengan pulangan faedah yang menjamin masa depan mereka.

Ia antara inisiatif yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India yang dilancarkan pada 23 April lalu oleh Najib.

Kata beliau, penyediaan unit saham itu adalah untuk tempoh lima tahun akan datang dengan sekitar 20,000 keluarga India setiap tahun bermula tahun depan.

“Inisiatif pertama, kita mensasarkan golongan bawahan isi rumah berpendapatan terendah 20 peratus daripada kelompok B40 di negara ini dengan peluang penyimpanan dengan sejumlah subsidi untuk memastikan penyertaan semua.

“Secara prinsip PNB sudah pun bersetuju dengan cadangan kami menerusi perbincangan baru-baru ini. Tetapi perbincangan secara lebih mendalam juga sedang diteruskan tentang cara perlaksanaannya kelak.

“Dalam pada itu, peluang ini juga dibuka kepada segenap lapisan masyarakat India golongan pertengahan lain seperti M40,” katanya dalam sidang media di sini.

Tambah beliau, sasaran 20,000 keluarga India B20 setiap tahun untuk berpeluang menyertai pelaburan dan penyimpanan tersebut adalah realistik dan optimis akan menampakkan impak positif yang diharapkan.

Menteri Kesihatan itu juga menjelaskan ia merupakan kali pertama pelaburan unit saham berjumlah besar khusus untuk masyarakat India diusahakan oleh kerajaan.

Walaubagaimanapun, sebelum ini kerajaan menerusi PNB menyediakan banyak rancangan pelaburan Amanah Saham kepada Bumiputera dan dibuka untuk masyarakat lain.

“Tetapi kali inilah kami cadangankan konsep pelaburan yang khusus untuk masyarakat India sahaja dengan jumlah pelaburan sebanyak 2 bilion unit.

“Ketika ini kita perlu berbincang dengan PNB untuk memuktamadkan mekanisme operasi dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kelulusannya.

“Berharap sejumlah peruntukan disediakan dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini untuk mengimplementasikan kelak,” tegasnya lagi.

KOMEN

WORDPRESS: 0