Tiada yang luar biasa tentang Wawasan 2020

Tiada yang luar biasa tentang Wawasan 2020

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam menuduh kononnya konsep Transformasi Nasional (TN50) diciplak daripada Wawasan 2020, tapi pada hakikatnya konsep Wawasan 2020 itu sendiri adalah ciplakan dua agenda besar negara sebelumnya, iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Semuapun tahu bahawa daripada segi sejarahnya, Rukun Negara dan DEB diwujudkan selepas tragedi 13 Mei 1969 yang teras utama matlamatnya adalah untuk mewujudkan kestabilan negara, ketenteraman awam dan menyusun semula masyarakat, termasuk daripada segi ekonomi rakyat berbilang kaum.

Tidak ada boleh dianggap luar biasa sebenarnya dalam konsep Wawasan 2020 yang dimulakan oleh pentadbiran Tun Mahathir pada 1991 itu, melainkan sekadar pelengkap kepada hasrat Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) memperkenalkan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 dan DEB selepasnya.

Malah kemungkinan konsep Wawasan 2020 itu lahir dari kotak minda para penasihat Tun Mahathir yang 20 tahun sebelumnya turut terlibat memikirkan konsep Rukun Negara dan DEB.

Cubalah bandingkan sembilan matlamat Wawasan 2020 Tun Mahathir dengan semangat dan ikrar Rukun Negara. Malah wawasan ekonominya juga hanya sekadar kesinambungan dan penambahbaikan terhadap matlamat yang ingin dicapai melalui DEB.

Konsep Wawasan 2020 hampir sama dengan Rukun Negara dan DEB kerana tidak ada percambahan idea di kalangan pemikir di peringkat atasan. Konsep Wawasan 2020 adalah menyuapkan idea pihak atasan untuk dilaksanakan sehingga ke peringkat rakyat marhain atau ‘top down’.

Wawasan 2020 tidak punya perincian spesifikasi arah tujunya, lebih merupakan kenyataan umum yang sekadar memperkukuhkan semangat pencapaian Rukun Negara dan DEB. Hanya Tun Mahathir faham apa matlamat di sebalik konsep Wawasan 2020, satu wawasan ciplak yang hanya sedap dan muluk daripada segi bahasa, tetapi lompong daripada segi perincian dan kabur bagaimana ianya mahu dilaksanakan.

Apa yang berlaku selepas beberapa tahun wawasan itu dilaksanakan, segelintir konglomerat baru berjaya diwujudkan, yang hampir semuanya adalah kroni dan punya hubungan akrab dengan Tun Mahathir. Tak perlulah saya senaraikan nama-nama mereka di sini, kerana itu bukanlah rahsia umum lagi.

Sebaliknya dalam tempoh kira-kira 12 tahun selepas perlaksanaannya, pencapaian ketara Wawasan 2020 lain adalah jurang antara yang kaya dan miskin semakin melebar. Rakyat jelata terus berhadapan dengan ancaman kemelesetan ekonomi, khususnya bermula dari pertengahan 1990an, beberapa tahun selepas wawasan itu dilancarkan.

Sedar tidak sedar, kemelesetan teruk ekonomi negara berlaku sebanyak dua kali ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, masing-masing pada sekitar pertengahan 1980an dan 1990an.

Ketika tempoh kemelesetan inilah Tun Mahathir menyumbatkan sebegitu ramai individu ke dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), terutamanya dalam Operasi Lalang pada 1987.

Matlamat Wawasan 2020 untuk menyatupadukan kaum juga gagal dicapai atas faktor antara lain kerana wujudnya usaha negatif sepanjang zaman meniupkan api perkauman oleh DAP, parti rasis dan chauvenist yang kini Tun Mahathir sendiri jadikan kawan.

Tun Mahathir sepatutnya menunding jari kepada DAP jika dia merasakan bahawa Wawasan 2020 telah gagal. Berbanding dengan Wawasan 2020, TN50 mengumpulkan idea dari rakyat merentasi kaum, agama, budaya dan umur. Pendekatan ‘bottom up’ ini sudah pasti melahirkan idea akar umbi untuk dilaksanakan.

Adakah idea-idea rakyat jelata ini nak dikatakan sebagai ciplakan Wawasan 2020 sebagaimana tuduhan Tun Mahathir? Saya yakin bahawa matlamat yang mahu dicapai TN50 jauh lebih dinamik berbanding Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir. Malahan dalam beberapa segi, kejayaan yang telah dicapai oleh negara sejak sepuluh tahun lalu jauh merentasi Wawasan 2020 Tun Mahathir pada 1991.

Tidak perlulah Tun Mahathir mahu menunggu Pakatan Harapan menang dalam Pilihanraya Umum akan datang bagi menunjukkan cara untuk merealisasikan wawasannya yang tak seberapa itu. Lagipun tahun 2020 hanya tinggal dua tahun untuk tiba.

Entah apalah ‘magic’ yang ada dalam kepala bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan ini. Adakah kita masih ingat sekitar tahun 1994 Tun Mahathir ada menanam amanatnya di satu lokasi sekitar ibunegara?

Surat amanat yang hanya Tun Mahathir tahu isi kandungannya itu hanya dibenarkan dibuka dan dibaca pada tahun 2020. Saya yakin bahawa amanatnya itu jauh terkebelakang berbanding apa yang telah dicapai oleh negara ketika ini. – theRakyat

Tiada yang luar biasa tentang Wawasan 2020

Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Ketua Penerangan UMNO Perak

KOMEN

WORDPRESS: 0