Beri sokongan supaya Felda kembali gemilang

b- a- Beri sokongan supaya Felda kembali gemilang

SEGAMAT – Gembar-gembur kononnya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merupakan sebuah agensi yang muflis sama sekali tidak benar, sebaliknya ia telah berjaya mengatasi masalah aliran tunai yang dihadapi sebelum ini.
Sehubungan itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu peneroka memberi sokongan penuh kepada Felda bagi mengembalikan institusi itu ke tahap gemilang seperti yang dicapai sebelum ini.

Katanya, sebagai bukti, seramai 430 peneroka menerima hak milik tanah mereka iaitu merangkumi 430 lot hak milik bagi tapak rumah dan 521 lot hak milik tanah bagi tapak kebun di Felda Pemanis 2 ini.

“Walau bagaimanapun, jumlah keluasan keseluruhan yang diterima masih dalam skala lebih kurang empat Hektar (10 ekar),” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan hak milik tanah kepada 430 peneroka Felda Pemanis 2, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat.

Mohamed Khaled turut menasihati peneroka agar tidak cepat percaya dengan khabar angin yang dibawa oleh pihak tidak bertanggung jawab untuk cuba memburuk-burukan Felda sebaliknya perlu memberi kepercayaan penuh kepada pengurusan Felda.

Katanya kerajaan negeri akan sentiasa mengambil tahu hal-hal berkaitan dengan Felda dari semasa ke semasa dan tidak akan bertindak lepas tangan.

“Kerajaan negeri telah merancang pelbagai inisiatif yang besar untuk Felda di Johor antaranya ialah pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta dana Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan di kawasan-kawasan Felda seluruh Johor.

“Selain itu kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengambil alih dan menanggung penyelenggaraan 65 buah sekolah agama di seluruh Felda Johor dan juga mengkhususkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta melalui Tabung Latihan Kemahiran Johor bagi membantu anak-anak Felda,” katanya

KOMEN

WORDPRESS: 0