Kalau nak menang tonjolkan kejayaan, bukan maki hamun

Kalau nak menang tonjolkan kejayaan, bukan maki hamun

Tajuddin Abdul Rahman

PASIR SALAK –  Para pemimpin UMNO perlu menghadapi PRU14 dengan kekuatan tersendiri dan menguar-uarkan kemajuan yang telah dibawa jika ingin terus diberi mandat untuk memerintah.

“Kita kena tunjuk kejayaan kita selama ini membela rakyat, bangunkan negara selain jaga kepentingan agama Islam.

“Bukannya tonjol maki hamun, fitnah dan sebagainya yang bercanggah dengan budaya Melayu,” katanya ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ditanya mengenai peluang BN memenangi PRU14, Tajuddin berkata, rakyat perlu bijak memilih dan tidak menggunakan emosi dalam memilih pemimpin bagi memastikan masa depan dan keharmonian negara kekal terjamin.

“Saya lama dalam UMNO, banyak perkara yang telah dilalui dan saya harap rakyat buat pertimbangan sewajarnya dalam menentukan masa depan mereka dan negara,” katanya

Mengenai komen serta pelbagai pandangan yang dikemukakan pemimpin parti memerintah terhadap isu pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika pakatan harapan menangan pilihan raya kelak, katanya, perkara itu tidak sepatutnya diperbesarkan.

“Rata-rata berpendapat pemilihan Dr Mahathir sebagai perdana menteri tidak sesuai berdasarkan pelbagai faktor termasuk usianya.

“Kalau kita sedar tentang perkara itu, mengapa ia perlu diperbesarkan? Tiada faedah dan hanya beri kelebihan politik pada beliau,” katanya yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga berkata, tindakan membesarkan isu tersebut juga jelas memberi kelebihan kepada bekas perdana menteri itu dari sudut kelangsungan politiknya dan tidak mendatangkan manfaat kepada parti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan 45 Tahun Rancangan Tanah Belia Khas Seberang Perak di sini, hari ini.

Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam, Selangor pada 7 Jan lalu menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan tersebut memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14). -theRakyat

 

KOMEN

WORDPRESS: 0