Gerakan tampil 60 peratus muka baharu sebagai calon PRU14

Gerakan tampil 60 peratus muka baharu sebagai calon PRU14

Tiga presiden parti komponen Barisan Nasional, dari kiri Datuk Seri S. Subramaniam, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan akan menampilkan 60 peratus muka baharu sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Senarai calon telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam di ibu pejabat parti itu hari ini.

Menurut Siew Keong, senarai tersebut terdiri daripada semua kaum yang telah mencurahkan bakti di 45 kerusi ditandingi parti itu pada pilihan raya umum lepas.

Laporan BERNAMA menyebut, Siew Keong ketika ditanya sama ada Gerakan akan bertanding di semua kerusi yang ditandinginya sebelum ini berkata, beliau menyerahkan kepada presiden BN untuk membuat keputusan.

“Kami sudah serah senarai itu kepada perdana menteri dan setakat ini belum ada keputusan muktamad,” katanya selepas mesyuarat tertutup dengan Najib di ibu pejabat Gerakan di sini hari ini.

Berhubung persiapan parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang, Mah berkata, Gerakan menjangka berlaku perubahan di empat hingga lima kerusi yang ditandinginya sebelum ini.

“Ia sebenarnya keadaan yang disifatkan sebagai menang-menang. Sebagai contoh, sekiranya MCA yakin akan mencapai keputusan lebih baik di sesetengah kerusi kami, kami boleh bertukar-tukar kerusi.

“Tapi, tidak semestinya dengan MCA sahaja, boleh juga dengan mana-mana parti komponen lain (dalam gabungan Barisan Nasional),?” kata Mah sambil menjelaskan beliau tidak boleh menyatakan secara terperinci kerana perkara itu masih dalam perbincangan.

Mengenai Pulau Pinang, Mah berkata, beliau yakin Gerakan akan mencapai keputusan jauh lebih baik berikutan terdapat pelbagai isu di bawah kerajaan pimpinan DAP seperti projek terowong dasar laut.

“Kami yakin orang Pulau Pinang akan memilih beberapa wakil daripada Gerakan bagi tujuan mewujudkan semakan dan imbangan dalam Dewan Undangan Negeri.

“Selain itu, pada pilihan raya lepas, di Pulau Pinang, DAP menang kesemua kerusi yang ditandingi mereka dan oleh kerana mereka tidak pernah kalah, mereka agak angkuh sekarang dan oleh itu, kami yakin kami akan mencapai keputusan yang jauh lebih baik,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Najib hari ini, Mah berkata, perjumpaan singkat itu berlangsung dengan cukup baik di mana perdana menteri menasihati kepimpinan Gerakan supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia serta membuat persiapan dengan sebaik mungkin bagi menghadapi PRU14.

Kata beliau, sebelum berlangsung perjumpaan selama satu jam 15 minit itu, di mana Najib turut diberi taklimat tentang persiapan Gerakan bagi menghadapi pilihan raya umum berkenaan, perdana menteri juga dibawa melawat ‘bilik perang’ Gerakan.

KOMEN

WORDPRESS: 0