Calon Pas PRU 14 bebas “klon Mahfuz”?

b- a- Calon Pas PRU 14 bebas “klon Mahfuz”?

BARU-BARU ini tersebar satu senarai panjang calon Pas yang bakal bertanding dan digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Walaupun Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan akan kesahihan senarai calon itu, tetapi jika diteliti secara halus dan diselaraskan pula dengan analisis penganalisa politik, kebarangkalian benar itu agak besar.

Sejak senarai itu tular, setakat ini hanya segelintir kecil calon yang namanya bakal digugurkan tampil membuat kenyataan balas.

Ada yang menafikan mereka tidak lagi diperlukan oleh pucuk kepemimpinan parti dan ada pula yang tidak percaya nama mereka telah dipindah ke kerusi Parlimen.

Seperti biasa, setiap kali tiba musim PRU, perkara seperti ini sudah menjadi perkara biasa. Ia sama ada dilakukan dengan arah pucuk kepemimpinan sendiri bagi tujuan ‘test market’ atau oleh golongan tertentu yang tidak sebulu dengan kepimpinan parti.

Namun, ia tidak begitu sukar untuk kita mendapatkan jawapan sama ada senarai calon itu palsu atau tulen.

Berdasarkan ucapan dan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di satu program bersama NGO di Kepala Batas, Kedah semalam, beliau berkongsi dengan wartawan mengenai calon parti yang bakal terpilih untuk bertanding.

Kata-katanya, “mungkin ramai (calon) muka baharu, sebab (calon) lama dah berusia” menguatkan lagi ketulenan senarai calon yang tular itu.

Dalam senarai itu, ramai juga penyandang digugurkan dan kebanyakannya bukan berusia sebagaimana dikatakan oleh Abdul Hadi.

Ini kerana, dalam senarai itu juga ada calon yang betul-betul berusia senior dari yang digugurkan, masih dikekalkan oleh pucuk pimpinan tertinggi Pas.

Sudah tentu, “calon lama dah berusia” yang dinyatakan oleh Abdul Hadi hanya alasan remeh untuk menutup prasangka penyokong parti yang mungkin tertanya-tanya kenapa penyandang mereka tidak lagi dipilih untuk bertanding mempertahankan kerusi DUN atau Parlimen.

Alasan sebenar pengguguran calon penyandang adalah disebabkan fahaman dan aliran mereka tidak lagi setulen perjuangan asal penubuhan Pas kira-kira 67 tahun lalu.

Pas mengambil sikap teliti dan berhati-hati dalam memilih calonnya untuk PRU 14 ini. Mereka tidak mahu “klon Mahfuz” (Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar), pemimpin seperti Datuk Husam Musa, Khalid Abd Samad dan Mohamad Sabu terpilih bertanding.

Bagi Pas, klon itu boleh merosak dan memusnahkan masa depan parti yang menukar pendekatan perjuangannya kepada Politik Matang Dan Sederhana (PMDS).

Kalau dilihat kepada nama-nama calon yang digugurkan itu, ada logiknya mereka mempunyai aliran sama seperti sekumpulan rakan mereka yang menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).

Cuma golongan ini mengambil sikap berdiam diri, kononnya berkecuali, kononnya cuba sembunyikan dari pengetahuan kepimpinan, demi untuk meneruskan kelangsungan politik diri masing-masing.

Tetapi, diam-diam mereka, diam-diam ubi berisi. Gerak geri dan perubahan diri mereka tetap dapat dihidu oleh kepemimpinan parti. Maka, berlakulah tampi menampi membuang antah.

Mana-mana yang digugurkan atau yang tidak lagi dipilih sebagai calon, mereka adalah antah yang perlu dibuang, dan penyingkiran ini ibarat membuang melukut di tepi gantang. Ada tidak memberi manfaat, buang tidak memberi kesan kepada parti.

Pas menjalani proses transformasi selepas tindakan sekumpulan pemimpinnya keluar dari parti itu untuk menubuhkan parti baharu pada September 2015.

Sejak itu, walaupun ada yang keluar secara terang-terangan, tetapi Pas yakin dan percaya masih ada sisa-sisa yang melekat tidak mahu keluar.

Sisa-sisa ini dianggap sebagai kolesterol yang jika dibiarkan boleh menyumbat saluran darah dan memberi kesan kepada empunya badan diserang penyakit strok atau sakit jantung.

Kerana tidak mahu diserang strok atau jantung, Pas melakukan pembersihan dari sekarang secara intensif. – theRakyat

KOMEN

WORDPRESS: 0