Kita berunding, ada setuju dan ada tak setuju – MB Negeri Sembilan

Kita berunding, ada setuju dan ada tak setuju – MB Negeri Sembilan

Datuk Seri Mohamad Hasan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan bersama menteri besar dan ketua menteri berkaitan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Seri Perdana di sini hari ini.

Antara yang kelihatan ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kenderaan yang membawa Mohamed Khaled dan Idris masing-masing dilihat meninggalkan perkarangan Seri Perdana pada pukul 11.37 pagi dan pukul 11.38 pagi.

Cubaan sekumpulan media untuk mendapat ulasan daripada dua pemimpin berkenaan mengenai pertemuan bersama Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bagaimanapun tidak berjaya.

Idris sempat menurunkan tingkap dan memberi salam sambil melambai tangan kepada kumpulan media yang telah menunggu di kawasan Seri Perdana sejak awal pagi.

Mengulas pertemuannya bersama Najib kepada kumpulan media yang mengerumuni kenderaannya ketika meninggalkan perkarangan Seri Perdana pada kira-kira 12.30 tengah hari, Mohamad berkata perbincangan tersebut untuk mengatur strategi PRU14 di Negeri Sembilan berjalan baik.

“Selesai dah rasanya,” kata Mohamad mengenai perbincangan berkenaan.

Ditanya mengenai hasil perbincangan bagi memuktamadkan calon BN di Negeri Sembilan, Mohamad berkata: “Ok. Alhamdulillah. Kita berunding, ada setuju ada tak setuju.”

Mengenai persediaan dan keyakinan mempertahankan BN di Negeri Sembilan, beliau berkata : “Insya-Allah. Kita kena kerja kuatlah.”

Mohamad berkata beliau juga akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau pada PRU14 nanti.

— BERNAMA

KOMEN

WORDPRESS: 0