Sekali lagi Tun M membuktikan kediktatorannya

b- a- Sekali lagi Tun M membuktikan kediktatorannya

Suara Dr. Mahathir lebih `lantang' dan menenggelamkan suara Muhyiddin. Dalam apa juga keputusan dan pengumuman oleh parti Dr. Mahathir yang mendominasi semuanya. Muhyiddin sekadar tercegat di sebelah mengiyakan apa yang dicakap oleh Mahathir.

SEPANJANG 22 tahun sebagai perdana menteri, ramai yang menggelar Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai diktator. Seorang pemimpin yang memerintah hanya mengikut caranya sendiri.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya yang kini Setiusaha Agung DAP. Lim Guan Eng secara konsisten menggelar Dr. Mahathir sebagai diktator.
Kit Siang dalam semua kempen pilihan rayanya atau ketika berbahas di parlimen tidak pernah gagal memanggil Dr. Mahathir dengan gelaran diktator.
Selepas pemecatan Datuk seri Anwar Ibrahim,gelaran itu ditambah pula dengan mahazalim dan mahafiraun terutama oleh para pendokong reformasi Anwar yang kini tertipu dengan sandiwara pemimpin mereka sendiri.
Kini tercatat dalam sejarah buat pertama kalinya dalam kempen pilihan raya Kit Siang tidak memanggil Dr. Mahathir dengan gelaran diktator atau gelaran buruk-buruk, kerana kini mereka sepentas, berganding tangan untuk membolehkan Dr. Mahathir sekali lagi menjadi perdana menteri.
Namun itu tidak bermakna sifat-sifat diktator Dr. Mahathir sudah hilang. Lihatlah dalam PPBM yang kini digantung sementara oleh Pendaftar Pertubuhan kerana tidak memenuhi keperluan undang-undang.
Presiden PPBM adalah Tan Sri Muhyiddin Yasin (bukan nama sebenar, nama sebenarnya dieja macam lain), yang sepatutnya mempunyai kuasa eksekutif dalam parti itu.
Tetapi itu tidak berlaku kerana suara Dr. Mahathir lebih `lantang’ dan menenggelamkan suara Muhyiddin. Dalam apa juga keputusan dan pengumuman oleh parti Dr. Mahathir yang mendominasi semuanya. Muhyiddin sekadar tercegat di sebelah mengiyakan apa yang dicakap oleh Mahathir.
Keadaan ini seperti mengulangi apa yang berlaku di dalam Kabinet ketika Dr. Mahathir menjadi perdana menteri dahulu yang mana Muhyiddin salah seorang menterinya yang sekadar mengiyakan.
Aura diktator Dr. Mahathir memang tidak boleh ditandingi. Sepatutnya sebagai presiden parti Muhyiddin yang perlu ke depan. Malah pakatan pembangkang itu sepatutnya diketuai oleh Muhyiddin kerana beliau adalah presiden parti bukan Mahathir.
Tetapi disebabkan sikap kediktatoran Dr. Mahathir, Muhyiddin terpaksa menjadi pemain di belakang tabir.
Bagi pihak Dr. Mahathir pula, dia memang sejak azali tidak boleh ikut cakap orang. Sebab itu dia bergaduh dengan semua perdana menteri dan dengan semua timbalannya.
Malah Kit Siang yang begitu gah menyusun dinastinya dalam DAP juga terpaksa tunduk kepada kediktatoran Dr. Mahathir.
Sifat diktator Dr Mahathir tidak pernah hilang. Malah tabiat mencantas beliau juga masih lagi tajam dan antara sedar dan tidak, para pemimpin dalam pakatan pembangkang secara tidak langsung telah `dicantas’ oleh Mahathir.
Antara yang paling ketara kena cantas ekoran sikap diktator Mahathir adalah Anwar sendiri. Kena cantas buat kali kedua. Dahulu kena cantas sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, kini kena cantas pula sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang.
Dalam pakatan pembangkang sekarang ini, Dr. Mahathir memastikan semua pemimpin lain berada di belakangnya. Hanya beliau ke depan. sama ada daripada segi pengumuman calon, sidang akhbar mahupun ceramah.
Pemimpin-pemimpin hebat dalam pembangkang seperti Kit Siang, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar semuanya berjaya diperbudak-budakan oleh kediktatoran Dr. Mahathir.
Sebab itu Dr. Mahathir dapat meletakkan dirinya sebagai ketua delegasi pembangkang dan calon perdana menteri pembangkang, bukannya Muhyiddin dan bukannya Anwar.
Muhyiddin yang berjawatan presiden parti pun tidak layak untuk mengetuai pakatan ini kerana aura kediktatoran Dr. Mahathir mengatasi segalanya.
Sejak Dr. Mahathir mengetuai pakatan ini, nama Anwar terus tenggelam. Wan Azizah yang merupakan Presiden PKR hanya sekali-sekala muncul. Para penyokong DAP tidak lagi menyanjung pasangan suami isteri itu, sebaliknya mereka menjulang Dr. Mahathir.
Keupayaan Dr. Mahathir menenggelam pemimpin-pemimpin lain dalam pakatan pembangkang bukan sesuatu yang luar biasa, kerana sudah menjadi sifat semula jadi Dr. Mahathir untuk memastikan hanya beliau seorang terkehadapan.
Selepas tidak lagi mempunyai kerajaan Dr. Mahathir menggunakan kediktatorannya itu untuk menguasai pakatan pembangkang. – theRakyat

KOMEN

WORDPRESS: 0