Yang sedang ghairah adalah DAP

b- a- Yang sedang ghairah adalah DAP

Setiap kali PRU, pembangkang sentiasa mengimpikan Putrajaya, tetapi pusat pentadbiran ini memang ditakdirkan milik BN selama-lamanya.

ESOK, sebelum detik jam 12 tengah malam, semua keputusan sudah diketahui. Barisan Nasional (BN) dapat berapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Pas dapat berapa dan Pakatan Harapan dapat berapa.

Suasana yang ditunggu-tunggu malam esok hampir menyamai dengan suasana penuh debaran pada malam 21 Oktober 1990, yang mana ketika itu semua penganalisis dan pemerhati politik meramalkan UMNO mengalami kekalahan teruk di tangan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

APU adalah nama parti gabungan antara Pas dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang berpecah dengan UMNO pada tahun 1988.

Perpecahan itu menyebabkan wujud dua kumpulan. Team A diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan UMNO baharu, manakala Team B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah yang menubuhkan parti baharu, Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Melihat kepada perpecahan itu dan puluhan ribu ahli serta penyokong UMNO beralih arah kepada perjuangan S46, banyak ramalan mengatakan riwayat UMNO baharu bakal berakhir dan berkubur untuk selama-lamanya.

Ini dapat dilihat ketika Pilihan Raya Umum kelapan (PRU8) diadakan. Semua mata tertumpu kepada gerak kerja Pas dan S46 yang mewujudkan gabungan bernama APU.

Program ceramah anjuran UMNO baharu langsung tidak mendapat sambutan. Semua lapisan masyarakat menumpukan kepada program-program ceramah anjuran Pas dan S46.

Begitu juga pada hari pengundian. Meja-meja panas milik Pas dan S46 di tempat mengundi dipenuhi pengundi untuk membuat semakan nama, manakala meja BN pula lengang.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan Tun Dr Mahathir ketika itu, ditambah pula dengan setiap saat laporan negatif diterimanya daripada jentera di bahagian dan negeri.

Beliau mula membayangkan BN akan menjadi parti pembangkang dan melihat kepimpinan APU mengambil alih kerusi kerajaan di Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, selepas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keseluruhan keputusan pada malam 20 Oktober lalu, tidak ada satu pun apa yang diramalkan oleh penganalisis dan pemerhati politik, menjadi kenyataan.

Tun Dr Mahathir kekal meneruskan pentadbirannya untuk penggal keempat berturut-turut sebagai Perdana Menteri, manakala APU hanya berjaya merampas Kelantan dan menguasai hampir separuh daripada jumlah kerusi DUN di Terengganu.

Oleh itu, perkara sama juga akan berlaku pada PRU14 ini. BN bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak masih kekal mentadbir Putrajaya.

Parti Pakatan Harapan (PH) masih tidak dapat membentuk kerajaan kerana banyak kepincangan berlaku dalam pakatan itu, terutama DAP yang mempunyai niat tertentu di sebalik kerjasamanya dengan PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatua Malaysia (PPBM).

Apa yang saya mahu katakan, berdasarkan pemerhatian saya, BN masih kekal dengan dua per tiga kerusi di Parlimen, kecuali beberapa negeri masih diperintah oleh PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, manakala Kelantan pula bakal menyaksikan kerajaan campuran antara BN dengan Pas.

Gelombang besar yang diuar-uarkan kononnya PH bakal membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan hanyalah sekadar mimpi di siang hari. Hakikatnya, masih ramai pemimpinnya, terutama yang beragama Islam belum bersedia ke arah itu.

Yang ghairah hendak menang dan merampas tampuk pemerintahan hanyalah DAP. Parti cauvinis ini sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi yang tidak pernah padam sejak merdeka sehingga kini dan selama-lamanya.

Agenda ini ramai pemimpin Melayu dalam PH tidak menyedarinya, kerana mereka telah dikhayalkan dengan dendangan lagu ulik mayang oleh tukang tari DAP.

Tambahan pula, ini bukan pertama kali BN berdepan dengan PH, yang sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

PR yang mempunyai gabungan parti Pas, DAP dan PKR juga gagal untuk merampas pusat pentadbiran Putrajaya pada PRU10 tahun November 1999, walaupun penganalisa dan pemerhati politik masih memutar kaset lama mengatakan BN bakal kecundang.

Hampir setiap kali PRU, penganalisa dan pemerhati politik ini tidak pernah cuba untuk memihak kepada BN dalam ramalan mereka.

Mereka hanya melihat kepada gelombang, tetapi tidak melihat kepada kekeramatan parti UMNO, MIC, MCA dan Gerakan yang mendapat kepercayaan rakyat sejak di awal merdeka.

Bagaimanapun, menjelang pagi Khamis 10 Mei, Najib dan barisan kepimpinan BN akan melangkah penuh bergaya ke Putrajaya untuk terus menakhodai kerajaan mengikut amanah dan tanggungjawab diberikan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang. – theRakyat

KOMEN

WORDPRESS: 0