Berita gembira PM untuk orang muda

Berita gembira PM untuk orang muda

KUALA LUMPUR – Golongan muda yang berusia 26 tahun ke bawah bertuah kerana akan diberi pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya jika Barisan Nasional (BN) terus memerintah.

Pengecualian itu bermula dari cukai taksiran 2017 dan seterusnya berkuatkuasa serta-merta.

Pengumuman gembira itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan terakhir menjelang kurang 24 jam sebelum lebih 14 juta orang pengundi menjalankan tanggungjawab mengundi masing-masing esok.

“Ini bermakna golongan muda berumur 26 tahun ke bawah, banyak mana pendapatan mereka tidak perlu membayar cukai sama sekali.

“Saya tahu orang muda memerlukan wang yang mencukupi, maklum sahaja hendak beli kereta, hendak sewa rumah, perbelanjaan dan sebagainya, hendak bagi duit kepada mak, bapa. Jadi sebagai sebuah kerajaan Barisan Nasional begitu prihatin, maka pertama kali dalam sejarah negara Malaysia, mereka berumur 26 tahun ke bawah tidak perlu bayar cukai sama sekali,” katanya.

Najib berucap di perkarangan kediaman bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein di Pekan, Pahang.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan ibunya, Tun Rahah Mohammad Noah.

Najib menambah, jika BN kekal sebagai pemerintah, seluruh rakyat Malaysia diberikan cuti peristiwa khas selama dua hari berturut-turut pada 14 dan 15 Mei ini.

Manakala bagi negeri-negeri yang bercuti pada Jumaat dan Sabtu, maka cuti umum diberikan pada 13 dan 14 Mei.

“Gunakan dua hari cuti ini untuk bersama-sama dengan keluarga, rapatkan hubungan dalam keluarga dan buatlah persiapan Ramadan bersama-sama keluarga tersayang,” katanya yang menerima tepukan daripada orang ramai.

Beliau sekali lagi membuat kejutan apabila mengumumkan pengecualian bayaran tol selama lima hari dalam sambutan Hari Raya pada tahun ini.

“Tidak ada bayaran tol dikenakan, bukan untuk sehari, dua hari tetapi lima hari. Dua hari sebelum Hari Raya, nak balik kampung. Hari Raya pertama, kedua dan ketiga apabila hendak balik semula,” ujarnya.

Tegas Najib, keupayaan negara memberikan faedah-faedah yang diumumkan dalam manifesto Barisan Nasional dan pengumuman menjelang pilihan raya esok membuktikan Malaysia tidak bankrap dan tidak perlu diselamatkan

Sementara itu, Najib berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau mahu melihat dan membuatkan rakyat negara ini hidup dalam suasana riang dan gembira.

Katanya, sepanjang masa ketika turun padang berjumpa rakyat, beliau dapat menyelami apa yang rakyat hendak, termasuk mendengar pandangan, cadangan dan kritikan membina dari mereka untuk kebaikan negara.

“Kita bukan saja meraikan amalan demokrasi, tapi proses itu memberi peluang kepada saya sebagai pemimpin untuk bertemu dengan rakyat. Ini yang saya hargai.

“Setiap detik, setiap wajah (rakyat) yang saya lihat, setiap tangan yang saya genggam, saya akan ingat. Dan dalam banyak-banyak itu, (antara) detik-detik yang mengharukan saya, ada yang pegang tangan saya tidak mahu lepas, ada yang angkat tangan saya letak di pipi mereka,” katanya.

Menurut Najib, beliau akui sedih dan kecewa dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang kepadanya termasuk ahli keluarganya dan pernah terfikir betapa peritnya menanggung tuduhan demi tuduhan yang tidak berasas itu.

“Namun bila saya lihat rakyat, ada yang menitis air mata, ada yang genggam tangan saya, mereka minta saya teruskan perjuangan ini… dan bila saya lihat wajah mereka ini di ratusan tempat yang saya kunjungi, maka luka di hati, parut di jiwa saya telah lenyap dan hilang.

“Hilang segala-galanya (duka dan nestapa) sebab rakyat mahu saya teruskan perjuangan.

“Maka saya, Najib Razak bagi pihak calon-calon Barisan Nasional (BN) dengan setulus hati dan tawaduk, saya pinta, saya pohon dan merayu kepada pengundi, tanpa ragu-ragu lagi dengan hati yang tekad dan nurani yang bulat pada PRU14 esok, pilihlah kami BN,” katanya.

Beliau berkata, BN adalah parti yang telah terbukit rekod dan prestasinya, selain mengotakan semua janjinya.

Menurutnya, BN akan memastikan hari esok lebih baik daripada hari ini dan sebagai pemimpin, beliau sentiasa memikirkan kos sara hidup atau dompet rakyat.

Najib memberitahu, semangat yang ditunjukkan rakyat kepada beliau dan kepimpinannya menguatkan lagi azam beliau untuk terus berjuang. -theRakyat

KOMEN

WORDPRESS: 0